Tuesday 5 February 2013

HIMPUNAN HELWA KEBANGSAAN 2013~





Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t & salam sejahtera...

Alhamdulillah pada 2 Februari 2013 bersamaan 21 Rabi’ulawal 1434H telah diadakan Himpunan Helwa Kebangsaan di Auditorium, Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan anjuran SALWA (WADAH)\ HELWA (ABIM)\ HEWI(PKPIM). PEPIAS Cawangan Kuala Langat telah menghantar 3 orang wakil untuk bersama-sama mengikuti himpunan ini.

Berikut, kita ikuti laporan penuh :

Tujuan utama Himpunan ini ialah untuk mempertemukan SALWA dengan generasi muda HELWA dan HEWI, serta silaturrahim dalam kalangan ahli jamaah. Objektif perhimpunan kali ini adalah seperti berikut:

1)  Memugar semangat juang wanita
2)  Meningkatkan kesedaran sosio-budaya-politik dan ehwal semasa dalam kalangan wanita
3) Mencerdaskan daya pemikiran wanita untuk merangsang kejayaan umat 
4) Mempertemukan para senior (SALWA) dengan generasi muda HELWA dan HEWI
5) Menyambung dan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan wanita jemaah. 

Pendaftaran bermula dari jam 8.00 pagi. Hampir 500 orang peserta mendaftar pada perhimpunan kali ini termasuk golongan bapa. Perhimpunan ini turut dihadiri oleh Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah, Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhd Nur Manuty, Pengarah Biro Latihan KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub dan pimpinan lain. 

Majlis dimulakan dengan alunan nasyid asmaul husna dan bacaan ayat suci al-quran surah At-Tahrim oleh juara Akademi Al-Quran musim 4, saudara Ahmad Tarmizi Ali. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Program, Dr Rahmah Hashim dan ucapan perasmian oleh Yg. Bhg. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH).

Pada perhimpunan kali ini terdapat 2 anugerah yang baru diperkenalkan iaitu Anugerah Sayyidatina Khadijah dan Anugerah Sayyidatina Aisyah. Anugerah Sayyidatina Khadijah adalah bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan sepanjang hayat aktivis muslimah atas pengorbanan yang tinggi dalam menegakkan kebenaran dan keadilan serta menjadi contoh teladan kepada wanita, khususnya wanita Islam di Malaysia. Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, telah menerima anugerah ini atas keberanian beliau menegakkan keadilan, kebenaran dan memperjuangkan Islam ke arah perubahan.

Anugerah Sayyidatina Aisyah pula adalah untuk mengiktiraf sumbangan dan menghargai jasa besar seorang aktivis muslimah yang diakui ketokohannya mencapai tahap terbilang dalam aspek keilmuan serta telah memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan dan peningkatan kedudukan wanita sama ada dalam bidang agama, sosial, politik atau ekonomi masyarakat. Anugerah ini telah diberikan kepada mantan pensyarah Jabatan Fizik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mantan Ketua Helwa ABIM, tokoh aktivis, sains dan dakwah iaitu Allahyarhamah Profesor Dr Khadijah Salleh. Kedua-dua anugerah ini telah disempurnakan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Dr Siddiq Fadzil.

Sesi 1 yang bertajuk “Senario Sosio-Politik Semasa dan Cabaran kepada Wanita” telah dikendalikan oleh Puan Fadlina Siddiq, Naib Presiden HELWA dan telah dibentangkan oleh Yg. Bhg. Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, Pengarah University of Malaya Centre of Democracy & Elections (UMCDEL) dan Yg. Bhg. Datuk Mohd Idris Jauzi, Naib Presiden Wadah.

Pada sesi 2 Yg. Bhg. Datin Dr. Siti Zalikhah Md Nor membentangkan tentang “Peranan Wanita di Dalam Maqasid Syariah”. Beliau menyentuh berkenaan penjenisan maqasid iaitu maqasid daruriyyah, maqasid hajiyyah dan maqasid tahsiniyyah.

Sesi 3 pula membentangkan “Peranan Wanita di Dalam Maqasid Syariah” oleh Dr. Fatimah Dahalan, Dr. Haslinda Abdullah, Puan Martinelli Hashim dan Puan Nordiran Idris. Pada sesi ini semua pembentang berkongsi  penemuan, kajian dan pengalaman mereka di lapangan. Selesai sahaja pembentangan, sesi soal jawab antara peserta dan panel berlangsung. Ternyata banyak cadangan, komen dan soalan daripada para peserta yang sungguh bersemangat.  Slot terakhir ialah amanat pimpinan Yg. Bhg. Datin Hajjah Aminah Haji Zakaria, Mantan Ketua Helwa. Dengan penyampaian amanat tersebut maka berakhirlah Himpunan Helwa Kebangsaan 2013.

Sekian..

-www.pepiaskualalangat.blogspot.com-






No comments:

Post a Comment