Wednesday 23 January 2013

Salam Maulidur Rasul 1434H~


Assalamualaikum & Salam Sejahtera kepada semua. Didoakan agar kita semua berada di bawah payung rahmat Ilahi.

Alhamdulillah, segala kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana telah memberikan keizinan kepada kita untuk menghirup kenikmatannya di bulan mulia ini. Selawat & Salam juga kepada junjungan besar Baginda Muhammad saw. Allahumma shalli ala Muhammad wa ala alihi wa shahbihi ajma'in. 

Pada tahun ini, rakyat Malaysia khususnya akan menyambut Maulidur Rasul pada hari khamis, 24 Januari 2013 = 12 Rabiulawwal 1434H. Maulidur Rasul disambut sempena kelahiran Baginda Muhammad saw yang jatuh pada hari Isnin, 12 Rabiulawwal Tahun Gajah = 23 April 571.

Bulan ini, bulan kelahiran junjungan besar pesuruh Allah, yang membawa rahmat sekalian alam, Baginda Muhammad saw penghulu sekalian nabi, juga penutup sekalian nabi, dan tiada lagi nabi selepas kewafatan Baginda Muhammad saw.

Bulan Rabiulawwal umat Islam keseluruhannya akan berbicara tentang Maulidur Rasul, berbicara tentang kelahiran Baginda Muhammad saw. Pada bulan ini juga, tidak dapat dinafikan bahawa umat islam keseluruhannya akan memperbaharui rasa kecintaan mereka kepada Baginda Muhammad saw dengan mengadakan program & majlis sambutan Maulidur Rasul di merata tempat di negara ini. Moga program yang dianjurkan itu memberi satu impak yang konsisten kepada seluruh umat Baginda di akhir zaman ini yang terdedah dengan pelbagai fitnah, untuk mereka terus istiqamah mempunyai rasa cinta & sayang terhadap Baginda Muhammad saw yang bukan sahaja dizahirkan pada lisan semata-mata sebaliknya dirasai secara halus dalam jiwa & melalui aplikasi sunnah Baginda Muhammad saw.

Menyentuh sirah Baginda Muhammad saw, kelahiran baginda disambut dengan :

1) Padamnya api yang disembah oleh penganut Majusi selama 1000 tahun
2) Runtuhnya 14 anjung dewan Kisra, Parsi
3) Robohnya gereja di sekitar Tasik Sawah

Inilah suatu tanda kerahmatan seluruh alam. Petanda bahawa kelahiran Baginda Muhammad saw akan merubah suasan jahiliyah kepada suasana yang berlandaskan syariah. Petanda bahawa dunia ini akan mengalami perubahan yang bersifat 'alamiyah.

Mengimbau kembali kisah Baginda Muhammad menanyakan kepada sahabat :

"Aku rindu... aku rindu..." , kata Rasulullah saw ketika sedang duduk bersama para sahabat. 

Para sahabat bertanya kepada beliau Rasulullah SAW,"Siapakah gerangan yang engkau rindukan itu ya Rasulullah?"

"Aku rindu kepada saudara-saudara ku..", jawab beliau Rasulullah SAW 

"Bukankah kami ini saudara-mu ya Rasulullah?", tanya para sahabat.

"Kalian sahabat-sahabatku dan aku mencintai kalian, namun aku sangat rindu kepada saudara-saudara ku", jawab Rasulullah SAW.

Sahabat semakin penasaran dan sekali lagi bertanya kepada beliau Rasulullah SAW.
"Ya Rasulullah, siapakah gerangan mereka yang engkau panggil dengan sebutan 'saudaramu' dan engkau sangat rindukan itu?"

Rasulullah SAW menjawab, "mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca al-Quran & beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa & beriman denganku. Dan 7x berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku, Mereka adalah umatku kelak, yang mana mereka belum pernah melihat wajahku, belum pernah bertemu denganku, belum pernah berbincang-bincang denganku, tetapi mereka sangat merindukanku dengan tulus,ikhlas dan penuh rasa hormat kepadaku, mereka adalah orang-orang yang melanjutkan perjuanganku dan tidak jarang pula mereka meneteskan air mata karena menahan rindu yang sangat kepadaku, aku rindu kepada mereka dan aku ingin bertemudengan mereka," jelas Rasulullah SAW.

Begitulah nilaian Allah. Bukan jarak & masa yang menjadi ukuran. Bukan juga bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan kecintaan yang suci. Malah pengorbanan & kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati & dibuktikan dengan kesungguhan beramal dengan sunnahnya.

Khutbah terakhir Baginda Muhammad saw.

sila klik : http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/4205-khutbah-terakhir-rasulullah-.html

Menyingkap detik kewafatan Baginda Muhammad saw & perkara akhir yang disebut baginda ialah : "Allah, Allah, Solat, Solat, berwasiatlah kebaikan kepada para wanita, aku berwasiat padamu berbaik-baiklah dengan keluargaku, umatku, umatku. Akhirnya, Baginda pergi menghadap Ilahi. 

Sejahteralah jasad Baginda setelah melalui hari-harinya yang memenatkan & meletihkan disebabkan kita, 
Sejahteralah jasad Baginda dapat berehat setelah perutnya diikat dengan batu kerana kelaparan disebabkan kita, 
Sejahteralah jasad yang pernah dilemparkan batu sehingga melukakannya disebabkan kita, Sejahteralah jasad yang pernah dipatahkan gerahamnya disebabkan kita, 
Sejahteralah jasad yang pernah dilukakan dahinya & mengalirlah darahnya lalu Baginda menahannya dengan tangannya untuk menjaga darah yang bersih itu dari jatuh ke tanah sebagai rahmat bagi mereka & kita dari kemurkaan Allah, 
Sejahteralah jasad yang pernah dimasuki sesuatu kedalam daging pipinya disebabkan kita, Sejahteralah jasad yang mana kakinya bengkak disebabkan pengabdiannya kepada Allah serta dakwah untuk kita 
Sejahteralah jasad yang memikul kesukaran, keletihan, kesakitan & kelaparan disebabkan kita.

Jibril pernah mendengar Allah berfirman : "aku mengharamkan syurga selagi umat Muhammad belum berada di dalamnya"

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab:21)

Dan insya Allah umat akhir zaman itu adalah kita. Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan Baginda Muhammad sawAllahumma shalli ala Muhammad wa ala alihi wa shahbihi ajma'in.


Mengakhiri penulisan pada kali ini, penulis mengajak sahabat2 untuk kita sama-sama bermuhasabah diri sejauh mana kasihnya kita kepada Rasulullah S.A.W. Sebanyak mana sunnah Rasulullah yang telah kita amalkan serta sedalam mana sirah Rasulullah S.A.W yang telah kita kuasai. Akhirnya marilah kita berpegang kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W dan kita martabatkan kalimah tauhid sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W : 

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” – Riwayat Abu Daud.

-www.pepiaskualalangat.blogspot.com-