Selasa, 19/2/2013 - Alhamdulillah, baru-baru ini PEPIAS Cawangan Kuala Langat telah menerima jemputan dari PEPIAS Cawangan Bangi untuk menghadiri "bulatan gembira" bertempat di BT 1114, KUIS. Usrah ini merupakan usrah gabungan antara unit iaitu lelaki & perempuan. Tepat Jam 9.00 malam usrah dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab, Al-Mathurat & juga sedikit taa'ruf (sesi suai kenal).
Tajuk yang dibincangkan adalah sangat menarik iaitu "Ada Apa Dengan Nama". Ternyata semua ahli usrah berasa teruja dengan tajuk ini, dengan cara mereka menyatakan maksud nama bagi setiap nama ahli. Nama-nama ini sebenarnya memiliki maksud-maksud yang indah seperti kelembutan, orang islam, kefahamanku dan lain-lain.
Sahabat sekalian,
Nama adalah sesuatu yang sangat penting, malah untuk memanggil seseorang juga dengan nama. Tanpa nama seolah-olah tidak lengkap perbualan kita dengan seseorang. Dengan nama kita dapat menegnal sesama manusia. Justeru, panggillah nama saudara, kawan kita dengan panggilan yang baik & mulia. Memanggil nama yang baik seolah-olah kita sedang mendoakan empunya badan itu.
Dalam aspek islam pula, pemilihan nama bagi seorang anak amat penting kerana itulah merupakan tanggungjawab bagi seorang bapa kepada anaknya. Nama itulah yang akan disebut-sebut orang apabila memanggilnya kelak. Dan dari nama itu juga ia akan membina sifat & peribadi anak tersebut. Jika nama yang diberikan tidak baik, maka jadilah dia sebagaimana namanya.
Islam menganjurkan pemilihan nama yang baik kerana ia merupakan lambang identiti seseorang & nama itulah ia akan dikenali sepanjang hayat & menjadi sebutan sampai hari akhirat.
Abu Darda ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya kamu akan diseru/dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu & juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu"
(riwayat Imam Abu Daud dari Abu Darda r.a)
Perkongsian ahli usrah :
Kak Khaulah : setiap apa yang keluar dari lisan adalah DOA, maka kita panggil dengan nama yang elok ertinya kita MENDOAKAN dia
Abg Afiq : tidak perlu terlampau taksub mengikut trend nama masa kini yang meletakkan nama terlalu panjang & sukar untuk disebut, cukup hanya sekadar yang MUDAH & SIMPLE.
Sdr Syamim : "jangan ada satu kaum yang memperolok kaum yang lain, kerana boleh jadi kaum yang diperolok lebih baik dari yang memperolok" maksudnya disini, jangan kita mengejek & mempersenda nama orang lain, sebab boleh jadi orang lain itu lebih baik, lebih elok mungkin akhlaknya, pertuturannya dari kita.
Sdr Suhaili : jangan kita terlalu mengagungkan nama kita sehingga kita lupa apa tujuan kita hidup di dunia. Ingat bahawa tujuan kita hidup ini hanya untuk beribadat kepada Allah s.w.t.
Semoga nama-nama kita adalah nama yang terbaik. Insya-Allah
-www.pepiaskualalangat.blogspot.com-
No comments:
Post a Comment